Samsung bakal lancar telefon ‘flip’ skrin

SELEPAS kejayaan Samsung Galaxy Fold yang mencetuskan revolusi trend peranti yang menggunakan skrin boleh lipat, syarikat gergasi elektronik yang berpangkalan di Korea Selatan itu dikatakan akan memperkenalkan peranti baharu mereka yang turut menampilkan ciri sama.

Samsung kali ini dipercayai sedang giat membangunkan telefon pintar ‘flip’ dengan keupayaan skrin boleh lipat sekali gus memberi kepelbagaian variasi peranti yang menggunakan teknologi sama di pasaran.

Berdasarkan khabar angin terbaru, Samsung dikatakan akan melancarkan telefon pintar flip yang menggunakan skrin boleh lipat seawal Februari depan.

Jika ia benar, pelancaran peranti berkenaan akan berada di pasaran lebih awal berbanding telefon pintar kelas premium Galaxy S11 yang dijangka akan diperkenalkan pada penghujung Februari.

Peranti flip ini dijangka akan menggunakan skrin bersaiz 6.7 inci dan berubah apabila pengguna membuka peranti berkenaan.

Pemain industri meramalkan bahawa jika khabar angin ini benar, maka Samsung akan menawarkan harga yang lebih baik berbanding Galaxy Fold.

Syarikat itu juga dikatakan akan melancarkan Galaxy Fold generasi kedua pada tahun ini sekali gus menjadi syarikat utama yang memperluaskan teknologi skrin boleh lipat berkenaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*